Thursday, October 23, 2008

Bala webcam komputer

KUALA LUMPUR: Seorang kerani menjadi mangsa jerat seks siber selepas tindakannya mendedahkan tubuh bogel kepada teman lelaki melalui Internet membawa padah apabila gambar itu kini disebarkan melalui e-mel kepada pengguna Internet lain.

Lebih memburukkan keadaan apabila dua gambar bogel termasuk satu daripadanya dengan hanya memakai coli, jatuh ke tangan rakan-rakannya selepas dihantar lelaki misteri itu.

Difahamkan tindakan terbabit dilakukan suspek sebagai luahan dendam kerana kecewa dengan keputusan mangsa yang cuba memutuskan hubungan cinta mereka, baru-baru ini.

Mangsa, Nat Eng, 25, berkata dia mula mengenali lelaki misteri berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai Eric, 32, menerusi satu laman sembang Internet pada Februari 2008.

Menurutnya, Eric mendakwa berasal dari Singapura dan bekerja sebagai perunding perniagaan serta kerap ke negara China atas urusan perniagaan.

"Bermula daripada perkenalan singkat itu, Eric menunjukkan minat mendalam untuk menjalani hubungan lebih serius dengan saya. Tulisannya yang penuh dengan kata-kata manis menyebabkan saya jatuh hati walaupun kami tidak pernah bersua muka.

"Tidak sampai sebulan berkawan, kami akhirnya saling menyayangi melalui dunia siber. Saya jadi kemaruk untuk berbual dengannya menerusi webcam komputer," katanya.

Menurutnya, pada masa sama, Eric mula menunjukkan belang apabila kerap kali membuat pelbagai permintaan aneh dengan meminta mangsa berpakaian seksi atau berani ketika berbual melalui webcam.

"Mungkin kerana faktor sayang, saya menjadi cuai dan mudah terpedaya sehingga menurut semua permintaannya. Malah, adakalanya saya terjebak dengan perbualan seks melalui laman web.

"Perbuatan cinta seks siber itu tambah menyedihkan apabila saya terjerat sehingga rela membogelkan diri di hadapan kamera komputer bagi memenuhi kehendaknya itu," kata mangsa yang berasal dari Petaling Jaya di sini.

Nat yang mula sedar ketelanjurannya itu akhirnya mengambil tindakan nekad untuk memutuskan hubungan intim dengan lelaki berkenaan awal Oktober lalu.

"Namun permintaan saya untuk sekadar kembali menjadi rakan biasa tidak disenangi Eric yang meluahkan rasa berang. Malah dia turut mengeluarkan kata-kata ugutan untuk menyebarkan gambar lucah saya kepada rakan-rakan dan keluarga.

"Untuk membuktikan ugutan itu, lelaki berkenaan menyebarkan sekeping gambar saya dalam keadaan hanya memakai coli kepada dua rakan saya," katanya.

Menurutnya, kewujudan gambar bogelnya itu benar-benar memeranjatkan kerana dia tidak menyangka lintas langsung 'panas' melalui webcam selama ini dirakamkan kenalan Internetnya itu.

"Dia kemudian cuba menakutkan saya dengan memberitahu ia hanya langkah fasa pertama sebelum banyak lagi gambar lain akan disebarkan. Setakat ini, sebanyak dua keping gambar saya sudah disebarkan melalui Internet.

"Lelaki itu memberi kata dua hanya akan menghentikan tindakannya itu sekiranya saya bersetuju menerimanya sebagai kekasih semula," katanya yang bertindak membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua biro berkenaan, Datuk Micheal Chong, menasihati golongan gadis supaya berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan cinta siber tanpa mengetahui latar belakang dan maklumat tepat teman lelaki di Internet.

No comments: