Thursday, October 23, 2008

Emas bertukar tembaga

KUALA LUMPUR: Tiga warga Afika dipercayai bersekongkol dengan seorang wanita tempatan untuk 'membelit' ahli perniagaan di negara ini dengan menawarkan serbuk emas palsu bernilai RM2.4 juta kononnya dibawa khas dari sebuah negara di benua berkenaan.

Seorang daripada mangsa yang mahu dikenali Yusof, 44, kerugian RM60,000 apabila membeli sekilogram serbuk emas itu pada 26 September lalu yang bertukar menjadi serbuk tembaga selepas diuji dalam makmal.

Menurut pekerjanya yang arif mengenai ketulenan emas, Mustazarizal Mustaffa, 29, dia berurus niaga dengan wanita dan tiga lelaki itu di sebuah hotel terkenal di Jalan Ampang di sini.

Dalam pertemuan itu, wanita terbabit menutup mukanya.

Mustazarizal berkata, hasil perbincangan selama 20 hari, majikannya bersetuju membeli serbuk emas terbabit dengan harga RM60,000 sekilogram membabitkan nilai keseluruhan RM2.4 juta.

Bagaimanapun, dia berkata, majikannya mengakui hanya sanggup membeli satu kilogram menyebabkan wanita terbabit yang dipercayai dalang kepada lelaki Afrika berang lalu tidak mahu meneruskan urus niaga.

Ini menyebabkan Mustazarizal diminta menemui wanita terbabit yang dilihat cuba melengahkan pertemuan dengan lelaki Afika itu sehingga jam 10 malam.

Menurutnya, dia terpaksa berbuka puasa dengan wanita berusia 40-an terbabit, malah dapat melihat wajahnya yang terpaksa membuka penutup muka bagi menjamah makanan.

"Akhirnya, ketiga-tiga lelaki itu tiba ke lobi hotel kira-kira jam 10 malam sebelum mengadakan perbincangan mengenai serbuk emas yang hendak dibeli.

"Seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Rashid menyoal saya mengenai kelengkapan yang dibawa selain wang tunai RM60,000.

"Wanita terbabit diarahkan lelaki itu supaya menempah bilik hotel bagi membolehkan urus niaga dijalankan," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Rashid memeriksa bilik hotel berkenaan diikuti dua lagi rakannya yang memakai jubah dan kopiah kira-kira 10 minit kemudian.

Mustazarizal melihat dua lelaki itu membawa beg beroda yang dipercayai mengandungi serbuk emas dijanjikan.

Menurutnya, dia hairan walaupun memberitahu hanya mahu membeli satu kilogram serbuk emas, lelaki terbabit dipercayai membawa lebih 10 kilogram.

"Rashid membuka beg itu sebelum dua rakannya mengeluarkan guni yang mengandungi serbuk emas. Mereka menaburkan sejumlah serbuk emas di atas plastik yang dipercayai melebihi sekilogram.

"Serbuk emas itu dimasukkan ke dalam dua lagi beg plastik sebelum dibalut pita pelekat dan diserahkan kepada wanita berpurdah terbabit," katanya.

Sebelum serbuk emas itu dibungkus, Mustazarizal diberi kira-kira enam gram serbuk emas untuk diuji bagi membuktikan ketulenannya.

Dia ke bilik air kira-kira 10 minit bagi menguji menggunakan alat khas dan bahan kimia sambil diikuti Rashid.

"Saya mendapati ia serbuk emas tulen. Wanita terbabit menyerahkan serbuk emas yang dibungkus sebelum saya menyerahkan RM60,000 kepadanya. Tanpa berlengah, dia mengambil RM10,000 sebelum menyerahkan RM50,000 lagi kepada lelaki Afrika terbabit.

Selepas lelaki itu beredar, Mustazarizal menimbang serbuk emas berkenaan menggunakan peralatan dibawa sebelum mendapati ia terlebih 58 gram.

Wanita terbabit mahu dia membeli baki serbuk emas, tetapi enggan berikutan tidak membawa wang mencukupi.

Dia menghantar wanita itu ke tempat meletak kereta kira-kira jam 11.30 malam.

"Saya membawa pulang serbuk emas yang dibungkus itu untuk diuji bersama majikan sebelum terkejut apabila mendapati ia serbuk tembaga yang memang tiada nilai.

"Kami membawanya di makmal ujian khas di Sungai Besi dan sekali lagi dikesan tidak ada kandungan emas dalam serbuk itu. Ia 100 peratus serbuk tembaga," katanya yang tidak menyangka diperdaya wanita berpurdah.

Muszatarizal berkata, dia percaya wanita terbabit diperalatkan tiga lelaki asing itu untuk melakukan penipuan kerana bukan saja fasih bertutur bahasa Inggeris, malah alamat rumah di Klang yang diberi didapati tidak wujud.

Dipercayai katanya, wanita itu menukarkan bungkusan asal dengan bungkusan yang mengandungi serbuk tembaga disimpan dalam baju.

"Sebaik menyedari ditipu, saya dan majikan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi jam 5 pagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman, mengesahkan mengenai kejadian itu yang membabitkan seorang peniaga emas.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan, termasuk mengesan wanita yang disyaki bagi bersekongkol dengan tiga lelaki Afrika terbabit.

No comments: